PULAI – Sepasang suami isteri merayu simpati masyarakat termasuk tenaga kepakaran doktor bagi membantu bayinya berusia sebulan empat hari yang kini bertarung nyawa selepas disahkan menghidap penyakit hydrocephalus atau kepala besar.
Bayi terbabit, Muhammad Akid Hazimi Jalalludin baru sahaja menjalani pembedahan bagi membuang tumor dan air di kepalanya yang semakin mengembang di Hospital Kuala Lumpur, 27 Februari lalu.
Meskipun begitu, bagi pasangan Jalalludin omar, 36, dan isterinya, Safiah Md Nasir, 30, mereka pasrah dengan ketentuan ilahi apabila dikurniakan anak kelimanya itu tidak seperti kanak-kanak lain.
Kepala Muhammad Akid Hazimi membesar sehingga berukur lilit 46 sentimeter semasa dilahirkan, berbeza dengan bayi normal lain yang hanya bersaiz ukur lilit sekitar 35 sentimeter.
Menurut Safiah, anaknya mula dikesan mengalamai masalah itu ketika kandungannya berusia 21 minggu.
“Menurut doktor, saiz kepala anak saya membesar, manakala jangka hayatnya berkemungkinan tidak lama berikutan tisu otaknya dipenuhi air.
“Perasaan saya sedih dan tidak sangka boleh jadi macam ini, puncanya apabila air ketuban saya pecah dan terus pergi ke hospital.
“Apabila doktor buat pemeriksaan dia cakap bayi saya ada masalah. Pada mulanya saya tidak dapat menerima namun lama kelamaan saya redha ketentuan takdir, mungkin ALLAH nak uji saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pulai Indah, di sini semalam.
Safiah berkata, selepas anaknya menjalani pembedahan pada 27 Februari lalu, bayi itu mula lebih sihat daripada biasa.
“Menerusi proses pembedahan itu, doktor terpaksa meletakkan satu tiub khas disambungkan terus ke usus bagi mengalirkan lebihan cecair di kepalanya,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Jalalludin yang membuka bengkel kereta secara kecil-kecilan berhampiran rumahnya berkata, dia bersama isteri akan tetap berusaha mengubati penyakit anaknya meskipun peluang untuk melihat bayi itu membesar dengan normal, tipis.
Menurutnya, setakat ini tiada sebarang ubat dibekalkan pihak hospital cuma perlu berulang alik menjalani rawatan di hospital Melaka secara berjadual.
“Dia perlu menjalani pembedahan di kepala secara kerap sepanjang usianya ekoran terpaksa bergantung kepada tiub yang diletakkan di kepalanya,” katanya.
sumber: harian-metro-online
Amin Ya Rabbal A’lamin..