Apakah Datin Seri tidak menyedari, bagaimana kemarahan yang telah Datin Seri cetuskan? Nama RasuluLlah SAW yang mulia dihina sebegitu rupa! Namanya cukup mulia, hinggakan apabila disebut namanya, dikira manusia yang paling kikir sekiranya tidak dipanjangkan nama itu dengan selawat ke atasnya. Tiba-tiba, nama itu dihina sebegitu rupa! Bahkan, Datin Seri yang menghadapi teguran, kritikan, kecaman dan tunjuk rasa langsung tidak memohon maaf. Langsung tidak!Sedangkan para Ulama’ masih berbahas, bagaimana cara paling baik untuk mengagungkan Manusia Mulia ini, tiba-tiba Datin Seri kelihatan meredhai perbuatan yang jelas MENGHINA Baginda Nabi SAW!
Sebenarnya, Datin Seri sudah dari awal menunjukkan kecekalan Datin Seri melanggar syariat Allah. Datin Seri tidak menutup aurat, bersentuhan, berlaga pipi dan berpelukan dengan lelaki bukan mahram yang disepakati sekalian Ulama’ sebagai perbuatan yang HARAM!
Menyentuh anjing atau khinzir, hukumnya juga Haram. Namun, hilang kotornya dengan perbuatan menyamak. Malangnya, tiada apa yang mampu ‘membersihkan’ haram dan kotornya nya menyentuh lelaki ajnabi kecuali
API NERAKA!
Lalu, dengan semua perlakuan Datin Seri, apakah mungkin Datin Seri fikir kami rakyat akan menerima dakwaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa kerajaan pimpinannya berusaha keras berjuang demi Islam dan bangsa. Sedangkan isterinya sendiri, tidak memelihara Akhlak dan Syariat Islam, juga adab-adab kesantunan Melayu malahan!
RAKYAT MENGIKUTI PEMIMPIN MEREKA
Kata ahli hikmah, “Agama manusia itu, di atas Pemimpin mereka”. Tinggi sahsiahnya, baik akhlaknya, ikhlas hatinya, patuh dan taat kepada Allah, maka begitulah jua rakyatnya. Rakyat akan terpengaruh dengan ketua mereka.
Malaysia hari ini, dalam keadaan yang benar-benar dahsyat bagi saya. Setiap masa perlu di dalam keadaan berjaga-jaga, kerana penjenayah menunggu kita alpa. Gerun saya melihatkan kanak-kanak yang bermain sendirian di halaman rumah, bimbang kalau-kalau ada manusia busuk hati yang berniat jahat kerana jenayah hari ini langsung tidak mengenal beza usia!
Budaya Hedonisme melampau. Nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan. Remaja Melayu Muslim tidak segan silu memakai pakaian yang jauh menyimpang daripada Islam dan adab Melayu. Tidak kekok mengogok arak di pesta-pesta jamuan nafsu. Saban hari ada sahaja kes bunuh bayi lewat pergaulan tanpa batas! Hari ini, remaja mati dengan sia-sia. Samada mati dalam ketagihan najis dadah, atau kemalangan dalam perlumbaan haram!
Bahkan seribu satu lagi, penyakit-penyakit sosial yang sedang membarah, membusuk di dalam negara tercinta!
Bukanlah saya menuding jari kepada Datin Seri dan suami, saya akui malahan, bahawa Datin Seri kelihatan cuba berusaha sedikit sebanyak bagi menangani masalah-masalah ini. Namun, hakikatnya, keadaan rakyat sesuai dengan keadaan pemimpinnya!
Manusia yang jelas disabitkan kesalahan rasuah, diangkat menjadi pemimpin! Manakala pemimpin lain yang mengkritik tindakan ini, di arah supaya tutup mulut dan diambil tindakan! Apa sudah jadi pada negara!? Sedangkan Nabi SAW bersabda, “Apabila amanah diberikan kepada BUKAN ahlinya, maka tunggulah KEHANCURAN!”
Pemimpin negara tidak memelihara adab pergaulan Islam, tidak memelihara batas aurat, berbelanja boros tanpa timbang rasa kepada rakyat, justeru, bagaimana mungkin kita mengharapkan yang baik-baik daripada rakyat?
Saya gerun melihat perkembangan ini, Datin Seri. Hari ini, kita mengeluh kerana ramainya anak-anak luar nikah yang didaftarkan. Bayangkanlah, apa yang mungkin kita keluhkan 5 atau 10 tahun akan datang!
Antara sifat agama kita, INQILABIYYAH Datin Seri. Ertinya, adil dan zalim mustahil begerak seiring. Kebenaran dan kebatilan sama sekali tidak akan bercampur. Syariat Islam dan yang bercanggah dengannya, pasti tidak akan ditemui titik temu antara keduanya. Justeru, Datin Seri berusahalah sehebat manapun untuk memperbaiki masalah sosial, gejala buang bayi dan sebagainya, selagi suami dan kerajaan Datin Seri terus mengesampingkan hukum Allah, dasar Allah, syariat Allah, maka Datin Seri tidak akan BERJAYA! Berani saya kata!
Bagaimana tidak? Datin Seri berusaha mengelakkan masalah bunuh bayi yang kita semua maklum ia bermula daripada pergaulan bebas, sedangkan hub hiburan malam, lesen judi dan konsert-konsert mega sebenarnya adalah penyumbang besar kepada masalah ini! Kerajaan pimpinan suami Datin Seri, umpama membina dan meruntuhkannya semula. Bina dan runtuh, kemudian bina dan runtuhkan lagi. Itulah kitarannya.
KUASA Datin Seri ke luar negara untuk bertemu pemimpin negara luar, pernah juga Datin Seri menyambut kehadiran Perdana Menteri luar negara ke Malaysia, dana RM111 juta untuk PERMATA, pertemuan First Lady dan liputan-liputan meluas setiap aktiviti Datin Seri di media dalam dan luar negara, itu bagi saya menunjukkan yang Datin Seri seolah-olah punya kuasa di dalam pentadbiran negara.
Justeru, sebagai anak muda yang penuh persoalan di minda, saya bertanya dengan baik, bagaimana ini semua berlaku? Sedangkan, kami rakyat tidak pernah melantik Datin Seri sebagai pemimpin negara. Suami Datin Seri yang memimpin kerajaan yang telah dipilih rakyat melalui proses Pilihan Raya! Atau apakah dengan hanya menjadi isteri kepadanya, menjadikan Datin Seri turut berkuasa?
Datin Seri pasti tahu, berkenaan kebangkitan rakyat yang menyemarak di Timur Tengah. Kerajaan yang tidak bertimbang rasa diterjah dan dihalau rakyat! Antara isunya ialah bagaimana berkuasa dan kaya rayanya isteri kepada pemimpin-pemimpin yang telah tumbang itu.
Saya cintakan negara saya. Tidak sanggup saya melihat negara porak peranda, namun, kiranya Datin Seri berterusan mengikut jejak langkah isteri-isteri pemimpin yang tumbang itu, maka mungkin Datin Seri dan suami boleh menerima nasib yang sama. Kami rakyat semakin tidak tertanggung lagi dengan tekanan-tekanan kewangan dan keperluan hidup sekarang!
Datin Seri,
Surat ini bukanlah ancaman, bukan juga ugutan. Ia sekadar luahan rasa, nasihat dan pandangan yang cuba seorang anak muda sampaikan. Ingin benar saya ingatkan, kedudukan yang Datin Seri nikmati hari ini, adalah kerana rakyat memilih suami Datin Seri. Kuasa di tangan kami, untuk menentukan jatuh dan bangunnya Datin Seri dan suami. Dan sebenarnya, kami rakyat hanyalah ‘jalan’ bagi Allah untuk mengatur ketentuan ini, Allah jualah yang meletakkan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakinya.
Justeru, berbaiklah dengan kami. Patuhilah suruhan Allah. Kami tidak pinta lebih, sekadar bertimbang-rasa untuk kami.
Datin Seri yang dihormati,
Surat ini mungkin sampai ke tangan Datin Seri. Mungkin sampai sendiri, atau terhenti di tangan pembantu-pembantu Datin Seri atau tidak mampu hampir sama sekali. Kiranya ia selamat sampai ke tangan Datin Seri, saya pohon maaf, kalaulah surat kecil saya ini mengguris rasa Datin Seri. Maafkan saya, kalau ia kerana kesilapan-kesilapan bahasa dan cara penulisan. Namun, andainya Datin Seri terasa hati kerana menerima teguran, tidak akan saya pohon maaf untuk itu! Teguran ini adalah benar, justeru tiada apa yang perlu saya risaukan dengan kebenaran. Ia pasti menang dan tertegak!